KUCHING: Dianggarkan 145,000 peluang pekerjaan baharu dengan menawarkan gaji lebih tinggi akan wujud antara tahun 2021 dan 2030, kata Timbalan Premier Sarawak.
Datuk Amar Awang tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, ini adalah peluang bagi graduan mendapatkan pekerjaan untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Ekonomi baharu yang menawarkan peluang pekerjaan itu adalah dalam bidang ekonomi digital, hidrogen dan ekonomi hijau, katanya merasmikan pameran kerjaya antara yang terbesar di Broneo iaitu Talent Recruitment and Career Exhibition (TRACE 2023) di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini.
Teks ucapan beliau dibaca Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman.
Awang Tengah berkata, TRACE 2023 adalah satu usaha UNIMAS dalam menyediakan pelajar ke arah pengembangan kerjaya bagi mempersiapkan mereka memasuki pasaran pekerjaan.
Melalui acara itu, katanya, pelajar dapat mengetahui peluang pekerjaan yang sedia ada dan memahami kelayakan dan kemahiran yang diperlukan oleh pihak industri.
Dalam usaha membangunkan Sarawak, tambahnya, pihak swasta memainkan peranan penting sebagai enjin pembangunan dan TRACE 2023 mampu meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan di negeri ini.
TRACE 2023 adalah langkah pertama graduan dalam menceburi alam pekerjaan untuk menyumbang kepada bangsa dan negara khususnya Sarawak, tegas beliau dan berharap TRACE 2023 membuka peluang yang bermanfaat untuk pelajar dan industri berinteraksi mengenai peluang kerjaya.
Sumber dari : Jiwa Bakti